Perjumpaan bincang perancangan, aktiviti MPM Serasa





Oleh : Nurdiyanah Rajam / Foto : Ihsan Awang Muhamad Ali Hassan / Setiausaha Majlis Perundingan Kampung Serasa



KAMPUNG KAPOK, Khamis, 29 Januari. - Seramai 30 orang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Tertinggi, Ahli Jawatankuasa Biro dan Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim (MPM) Serasa telah mengadakan majlis perjumpaan buat julung kalinya bertempat di salah sebuah restoran di Kampung Kapok, malam kelmarin.


Majlis perjumpaan berkenaan antaranya bertujuan untuk bersuai kenal sesama ahli sekali gus bagi membincangkan perancangan aktiviti tahunan Mukim Serasa yang akan dilaksanakan sepanjang tahun 2026 ini.


Antara yang hadir bagi sama-sama menyertai majlis perjumpaan tersebut ialah Penasihat MPM Serasa, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Dato Paduka Seri Mohd. Tawih bin Abdullah.


Sehubungan itu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Awang Omar bin Haji Awang Mohamad selaku salah seorang Ahli MPM Serasa, diikuti dengan ucapan daripada Penghulu Mukim Serasa dan juga Pengerusi MPM Serasa, Awang Saiful Adli bin Ali Hassan.


Beliau antara lain mengucapkan penghargaan terima kasih kepada atas kehadiran semua ahli pada majlis perjumpaan tersebut sekali gus merakamkan ucapan tahniah kepada ahli-ahli atas lantikan Ahli Jawatankuasa Tertinggi, Ahli Jawatankuasa Biro dan juga menjadi Ahli-ahli MPM Serasa.


Semasa berucap, Awang Saiful Adli turut mengongsikan bahawa MPM Serasa akan mengadakan pertandingan masakan yang akan diadakan bulan April akan datang dan mengalu-alukan para ahli semua untuk melaksanakan persiapan-persiapan lebih awal agar segala pengurusan yang dirancang berjalan dengan lancar nanti.  Selain itu, beliau juga menyentuh mengenai perancangan dalam tempoh setahun bagi MPM Serasa.


Seterusnya, majlis menyaksikan penjelasan lebih terperinci daripada Setiausaha MPM Serasa, Awang Muhamad Ali Hassan mengenai perancangan MPM Serasa dalam tempoh setahun itu yang antaranya berkata melalui kaedah yang berkonsepkan 'tools' Kumpulan Kerja Cemerlang (KKC) iaitu Carta Gantt atau Milestone telah diguna pakai dalam pengurusan segala perancangan aktiviti tahunan MPM Serasa.


Dalam masa yang sama, semua ahli yang hadir diberikan kesempatan setiap seorang untuk menyenaraikan secara maksimum lima aktiviti yang akan dirancang untuk dilaksanakan dalam membuat perancangan aktiviti setahun. Dengan adanya kerjasama ahli yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan masing-masing sekurang-kurangnya, ia dapat menjana idea dalam proses percambahan fikiran sehingga dapat menghasilkan 85 jenis aktiviti yang telah disenarai panjang.


Manakala senarai panjang jenis aktiviti yang dikumpulkan itu akan dibuat kajian untuk disenarai pendekkan menjadi 50 aktiviti dan seterusnya akan dipilih lagi menjadi 40 aktiviti mengikut keutamaan khususnya dari sudut potensi, jenis aktiviti yang mudah dilaksanakan, mengurangkan kos perbelanjaan, menjimatkan masa serta memberi impak yang baik kepada MPM Serasa.


Majlis berkenaan turut memuatkan sesi bertukar fikiran sesama ahli juga diberi peluang dalam menjelaskan sebarang kemusykilan ahli dalam bidang tugas dan peranan ahli jawatankuasa antara lain telah pun dijelaskan oleh Awang Saiful Adli.


Sementara peranan Bendahari MPM Serasa telah dijelaskan oleh Timbalan Pengerusi MPM Serasa, Pengiran Haji Ibrahim bin Pengiran Haji Timbang.


Sebelum mengakhiri majlis perjumpaan Penasihat MPM Serasa juga memberikan saranan kepada Ahli-ahli MPM Serasa untuk sama-sama berganding bahu, bekerjasama dalam memikul tanggungjawab bagi melaksanakan pengurusan MPM Serasa dengan baik dan jujur serta amanah sehingga berusaha menaikkan perekonomian Mukim Serasa secara berperingkat di bawah tadbir urus Penghulu Mukim Serasa dan kebijaksanaan Ahli-ahli MPM Serasa yang dilantik.



Close